Hafiz diusia Muda

Posted by ULUL AZMI BIN HASSAN On 7:52 AM 0 comments

Category : edit post

Rahimi Bin Md. Saad

Zawawi Bin Ismail

Universiti Malaya

Wan Nordin Bin Wan Abdullah

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


ABSTRAK


Pendidikan bahasa Arab sebagai bahasa asing/kedua semakin mendapat perhatian di Malaysia. Kepentingan penguasaannya kini bukan sahaja dilihat dari aspek pendidikan agama Islam sahaja tetapi turut mengambil kira usaha pengembangan pelbagai sektor ekonomi negara. Namun, amalan pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut masih berada di tahap yang belum memuaskan. Pelbagai kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa tahap penguasaan bahasa Arab di kalangan pelajar Malaysia masih belum berada pada tahap yang amat memuaskan berbanding pembelajaran bahasa kedua/asing yang lain di Malaysia. Jika diperhatikan, banyak faktor yang menghalang keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut termasuklah kelemahan dalam amalan pedagogi, penggunaan alat/bahan bantu mengajar (BBM) dan kegagalan memanfaatkan perkembangan teknologi semasa. Kertas kerja ini cuba mengutarakan satu alternatif yang relevan dengan perkembangan teknologi terkini untuk diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab iaitu menerusi penggunaan laman web. Ia akan meninjau pandangan dan kajian yang berkaitan di samping mengemukakan saranan-saranan yang boleh membantu guru-guru yang terlibat dalam pengajaran bahasa tersebut mendapat idea untuk mewujudkan inovasi baru dalam amalan pengajaran mereka di dalam atau di luar bilik darjah


dapatkan jurnal ini dari sini.............

Category : edit post

Ashinida Aladdin
Afendi Hamat
Mohd. Shabri Yusof
Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ashi@pkrisc.cc.ukm.my, fendi@pkrisc.cc.ukm.my, msy@pkrisc.cc.ukm.my

http://myais.fsktm.um.edu.my/1911/

http://sittiaminah.blogspot.com/

Abstrak
Memandang kepada ledakan teknologi maklumat yang semakin pesat, penggunaan komputer telah terbukti mempunyai potensi yang cukup luas dan dinamik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kajian penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang dijalankan ini, adalah satu kajian awal yang respondennya terdiri daripada 40 orang guru bahasa Arab dari sekolah agama berasrama penuh di Malaysia iaitu Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang, Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Kajang dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu. Kajian dikendalikan menggunakan tinjauan.dan bagi tujuan pengumpulan data, borang soal-selidik telah diedarkan kepada subjek kajian yang dipilih dan seterusnya data ini dianalisis secara deskriptif. Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui skop penggunaan komputer di kalangan guru dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di sekolah yang dipilih di atas. Kajian ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada guru-guru yang mengajar bahasa Arab tentang persepsi, tahap kesediaan dan peranan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab berbantukan komputer. Hasil kajian yang diperolehi menunjukkan bahawa guru mempunyai persepsi yang sangat baik terhadap PBBK. Para guru juga telah menunjukkan kesediaan yang tinggi untuk menghadiri apa jua bentuk latihan yang berkaitan dengan PBBK bagi memastikan agar ianya dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. Di bahagian akhir, pengkaji telah menyarankan beberapa cadangan untuk penggunaan PBBK dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab berdasarkan dapatan kajian.

Pendahuluan
Revolusi teknologi maklumat sejak akhir-akhir ini membuat ramai pihak berminat untuk mengintegrasikan komputer dalam bidang tugasan masing-masing. Ini termasuklah golongan guru dan pendidik daripada pelbagai bidang. Dalam bidang pengajaran bahasa, penggunaan komputer sebenarnya telah bermula sejak 30 tahun yang lalu. Pembelajaran Bahasa Berbantukan Komputer (PBBK) atau lebih dikenali sebagai CALL (Computer Assisted Language Learning) telah mula dipelopori sejak dari 1960an lagi. Semenjak daripada itu, CALL sendiri telah melalui tiga fasa yang berbeza (Warschaur 1996). Fasa-fasa ini dikenali sebagai “behavioristic CALL”, “communicative CALL” dan “integrative CALL”.
Fasa behavioristic mula dikonsepsikan pada akhir 1950an dan mula meluas pengaruh dan kesannya pada tahun 1960an. Fasa ini dipengaruhi dengan kuat oleh teori pembelajaran yang dominan ketika itu iaitu teori pembelajaran behaviorisme. Fasa ini dipenuhi dengan program latihan dan pembelajaran yang berbentuk latih tubi dan praktis (drill and practise) yang dilakukan secara berulang-ulang. Antara sistem yang paling dikenali dalam fasa ini ialah PLATO yang mengandungi latih-tubi untuk perbendaharaan kata, nahu dan terjemahan (Ahmad, Corbett, Rogers & Sussex 1985). Antara rasional penggunaan PBBK secara behavioristic ini adalah:
 Pendedahan yang berulang kali kepada bahan pengajaran yang sama bukan sahaja dapat membantu pengajaran, malah sangat penting untuk pembelajaran yang berjaya.
 Komputer sesuai digunakan untuk latihan berbentuk latih-tubi kerana ia merupakan sebuah mesin atau alat yang tidak akan jemu mempersembahkan bahan pengajaran yang sama berulang kali. Selain daripada itu, ia juga boleh memberi maklum balas dengan serta merta kepada pelajar.
 Komputer juga boleh mempersembahkan bahan pengajaran yang telah disusun mengikut tahap induvidu. Ini membolehkan pelajar belajar mengikut tahap dan kemampuan masing-masing.

Fasa kedua iaitu communicative CALL, mula digunakan secara meluas pada tahun 1970an dan 1980an. Ia berasaskan pendekatan pembelajaran bahasa secara komunikatif yang menolak pendekatan berbentuk behaviorist dengan alasan bahawa pendekatan behaviorist tidak dapat membantu dalam menyediakan pelajar untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan dan bermakna. Menurut Underwood (1984), communicative CALL adalah:
a. Lebih mengutamakan penggunaan bahasa daripada pembelajaran berbentuk bahasa.
b. Mengajar nahu secara tidak langsung dan bukannya secara langsung.
c. Mengajar pelajar untuk menghasilkan pertuturan sendiri dan asli daripada mengulangi bahagian atau unit yang telah disediakan.
d. Tidak mengadili atau menilai pelajar dan tidak memberikan sebarang bentuk hadiah atau rangsangan.
e. Mengelakkan memberitahu pelajar bahawa mereka adalah salah dan lebih fleksibel bila menilai respon pelajar.

Fasa ketiga dan yang terbaru iaitu integrative CALL dipengaruhi oleh dua kemajuan utama dalam dekad yang lepas – komputer multimedia dan Internet. Bagi komputer multi media yang lebih dikenali dengan CD-ROM, telah memboleh kita mencapai maklumat dalam berbagai bentuk media seperti teks, grafik bunyi, animasi dan video hanya melalui sebuah alat. Seperkara lagi yang menjadikan multi media sungguh berkesan penggunaan nya dalam pembelajaran bahasa ialah pertautannya dengan hypermedia yang bermaksud jalinan semua rangkaian maklumat multimedia bagi memudahkan para pelajar menjana apa jua maklumat yang diingininya yang berkaitan dengan pembelajaran bahasa tanpa bantuan dari guru. Hypermedia dapat membantu pembelajaran bahasa dengan lebih berkesan dengan mewujudkan situasi sebenar di mana pelajar dapat melihat di skrin serta mendengar sebutan, ucapan atau perbualan dalam satu masa, seolah-olah mereka berada di dalam situasi tersebut ketika proses PBBK berjalan.

Melalui Internet pula, pembelajar bahasa dapat berkomunikasi secara langsung dengan begitu selesa dengan penutur asli ataupun pembelajar bahasa yang lain tanpa mengira masa, tempat dan tanpa membayar kos yang tinggi melalui aktiviti seperti e-mel ataupun World Wide Web (WWW) yang membolehkan pelajar mencapai maklumat dan menjana bahan pembelajaran asli seperti surat khabar, majalah, artikel, ulasan buku atau filem dalam masa yang sungguh singkat.
Bagi melaksanakan PBBK melalui Internet, beberapa persoalan perlu dibangkitkan iaitu; bagaimanakah guru dapat mengawal segala maklumat yang dijana oleh pelajar; dan bagaimanakah guru dapat memberi maklumat yang berguna dan mudah difahami kepada pelajar secara optima ketika menjalankan aktiviti melalui Internet.
Fox (1998) mencadangkan tiga asas utama yang perlu diberi perhatian oleh guru bagi menjayakan aktiviti Internet iaitu:
1. Guru perlu mengintegrasikan beberapa kemahiran bahasa dalam satu pelajaran seperti aktiviti menulis surat kepada rakan pena melalui e-mel di integrasikan dengan kemahiran menulis.
2. Guru dan pelajar perlu meningkatkan tahap penguasaan kemahiran menggunakan komputer.
3. Guru perlu melibatkan diri secara aktif dalam membimbing dan memberi dorongan serta galakan kepada pembelajar bahasa bagi mengelakkan mereka merasa kecewa dan putus asa ketika menghadapi kesukaran dan masalah dalam pengunaan Internet.

Warschauer (1997) pula mencadangkan lima garis panduan bagi membantu para guru mengendalikan aktiviti bahasa melalui jaringan komputer di dalam kelas pembelajaran bahasa kedua begitu juga dalam kelas bahasa asing iaitu:
1. Para guru perlu memastikan objektif mereka ketika PBBK di mana guru perlu jelas mengapa penggunaan komputer dalam pembelajaran bahasa lebih berjaya jika dibandingkan dengan pembelajaran bahasa secara tradisional. Alasan menggunakan Internet juga harus merangkumi pelbagai aspek diantaranya untuk meningkatkan lagi motivasi pelajar terhadap pembelajaran bahasa disamping menigkatkan lagi penguasaan terhadap penggunaan komputer. Guru juga perlu pastikan bahawa aktiviti yang dijalankan melalui komputer adalah aktiviti yang menarik yang tidak dapat dilakukan melalui buku teks.
2. Para guru perlu melibatkan diri dalam aktiviti PBBK yang dijalankan dengan mengintegrasikan kemahiran-kemahiran bahasa dalam pengajaran mereka.
3. Para guru adalah dinasihatkan agar tidak memandang remeh terhadap kesulitan yang timbul ketika proses pembelajaran bahasa berbantukan komputer berjalan kerana kemungkinan terdapat pelajar yang kurang mahir dalam mengendalikan Internet. Bagi mengatasi masalah dan kesulitan tersebut, guru perlu mengambil masa yang agak panjang untuk melatih mereka. Selain daripada kesulitan tersebut, terdapat juga masalah lain dalam pengendalian PBBK seperti masalah teknikal yang melibatkan komputer dan perisian yang tidak dapat berfungsi dengan baik, terlalu lama menunggu untuk mencapai satu-satu laman web dan lain-lain lagi yang perlu di beri perhatian oleh guru.
4. Para guru digalakkan supaya memberi sokongan dan motivasi yang berterusan kepada para pelajar supaya terus menggunakan Internet meskipun terdapat beberapa kesulitan dan kesukaran seperti yang dinyatakan seperti di atas. Bagi mengisi masa pelajar ketika berlakunya gangguan dan kesulitan tersebut, guru bolehlah mengedarkan nota, mengadakan sesi latihan pendek, menggalakkan pelajar membuat aktiviti secara berpasangan atau berkumpulan untuk membantu pelajar yang lemah dalam pengendalian komputer dan lain-lain aktiviti yang dapat menggalakkan pelajar agar tidak berasa kecewa atau putus asa.
5. Para guru juga digalakan supaya melibatkan para pelajar dalam membuat keputusan sendiri ketika membuat aktiviti bahasa melalui Internet. Guru akan membimbing pelajar dalam menentukan fokus pembelajaran bahasa dalam sesuatu topik yang dipelajarinya dan tidaklah hanya bergantung kepada guru sahaja.
Kedua-dua kemajuan yang dinyatakan di atas, iaitu komputer multi media dan Internet ini, membolehkan proses integrasi media berlaku dan ianya juga merupakan platform yang lebih berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran bahasa berbantukan komputer melalui integrative CALL boleh dilakukan secara menyeluruh dan merangkumi semua aspek kemahiran bahasa.

Kajian Lepas Mengenai Pandangan Guru Terhadap PBBK
Hannafin dan Freeman (1995) menyatakan bahawa pandangan guru terhadap proses pengkayaan ilmu akan mempengaruhi pendapat mereka terhadap penggunaan PBBK dalam kelas mereka. Pandangan mereka boleh dilihat dari perspektif objektivisme atau dari perspektif konstruktivisme. Mereka yang berpandangan secara objektivisme percaya bahawa pengetahuan wujud secara bebas dan pembelajaran adalah proses pemindahan pengetahuan dari luar ke dalam minda pelajar. Ini berbeza dengan pandangan konstruktivisme yang berpendapat bahawa pengetahuan wujud dalam minda pelajar dan dibentuk secara unik oleh pengalaman dan pembelajaran adalah hasil dari usaha pengajar membentuk pengetahuan dalam minda pelajar.
Mereka yang cenderung kepada pendapat konstruktivisme adalah para guru yang lebih berkemungkinan akan berpandangan positif terhadap penggunaan PBBK . Ini adalah kerana PBBK membolehkan pelajar menjadi lebih berdikari dan proaktif dalam pembelajaran mereka.
Kajian perbandingan antara PBBK dan teknik pengajaran bahasa secara tradisional menunjukkan bahawa penggunaan PBBK telah membantu memperbaiki kemahiran linguistik pelajar (Rohaya, 1991; Jamaleah Ismail, 1996), meningkatkan motivasi pelajar dan mengurangkan masa yang diperlukan untuk mempelajari sesuatu konsep (Adi Afzal Ahmad, 1996; Ismail I, 1996; Zubaidah Zakaria, 1996).

Walaupun terdapat banyak kajian mengenai pelajar dan CALL di Malaysia, kajian mengenai PBBK dan guru tidaklah berapa meluas. Norizan Abd. Razak dan Sallehudin Rashid (1996) menyatakan bahawa daripada jumlah 392 guru bahasa yang dikaji, 69.4% menyatakan minat mereka untuk mengintegrasikan PBBK dalam pengajaran mereka dan 85% menyatakan kesediaan mereka untuk menghadiri bengkel-bengkel mengenai PBBK. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Norfariza Sulaiman (1998), sebanyak 80% daripada 50 orang guru mengatakan mereka pernah mendengar mengenai PBBK dan 98% mengatakan bahawa mereka sangat berminat untuk menghadiri kursus tentang CALL.

Satu kajian yang dijalankan oleh Said bin Draman (2001) di beberapa buah sekolah agama dan sekolah menengah harian yang beraliran agama di Daerah Hulu Langat mendapati bahawa guru-guru bahasa Arab mempunyai persepsi yang baik terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab berbantukan komputer walaupun hanya 22.5% sahaja yang pernah menghadiri kursus dan seminar mengenainya manakala 77.5% lagi tidak pernah menghadiri sebarang bentuk kursus dan seminar mengenai pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab berbantukan komputer.

Wan Zumusni Wan Mustapha (1998) cuba memahami pandangan guru mengenai PBBK dengan meminta mereka mencuba satu pakej pembelajaran multimedia dan memberikan pandangan mereka. Hasil kajian itu telah menunjukkan satu pandangan yang amat positif daripada guru-guru tersebut terhadap PBBK. Namun begitu, para guru masih lagi belum bersedia untuk menghasilkan pakej pembelajaran mereka sendiri dengan perisian authoring yang ada. Ini bermakna para guru masih lagi terpaksa bergantung kepada pakej PBBK yang dihasilkan oleh orang lain dan selalunya pakej sebegini tidak dapat memenuhi semua keperluan pembelajaran dengan memuaskan.

Walaupun terdapat banyak respon yang positif tentang penggunaan PBBK, ada juga guru yang masih merasa tergugat dengan kehadiran komputer di dalam kelas mereka. Ini berpunca daripada salah faham, kurangnya kefahaman mengenai peranan komputer dan PBBK dan kurangnya kemahiran teknikal tentang penggunaan komputer (Hertz, 1987; Gunter & Murphy, 2001). Ini tidaklah memeranjatkan kerana kebanyakan guru masih belum mendapat pendedahan yang mencukupi mengenai penggunaan komputer dan PBBK dalam pendidikan.
Tahap pendedahan yang mencukupi adalah perlu jika guru-guru hendak menggunakan PBBK dalam pengajaran mereka. Tanpa pendedahan yang mencukupi, terdapat kemungkinan besar yang guru-guru akan menggunakan PBBK dengan cara yang tidak betul atau kurang efisyen. Ini mungkin akan mematahkan semangat mereka untuk terus menggunakan PBBK kerana hasil penggunaan awal kurang memberangsangkan.

Terdapat juga persoalan mengenai tahap persediaan daripada segi teknikal di kalangan guru-guru. Ini satu persoalan yang kritikal kerana penggunaan PBBK akan melibatkan pelaburan wang dan sumber yang agak besar. Guru-guru yang hendak menggunakan PBBK mestilah terlatih atau sekurang-kurangnya mempunyai kemahiran teknikal yang mencukupi.
Sungguhpun kajian-kajian awal telah membuktikan keberkesanan PBBK dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, namun di Malaysia ianya masih belum mendapat perhatian yang meluas (Hussin, 1994). Di Malaysia, kajian mengenai PBBK dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris telahpun dijalankan. Walau bagaimanapun, kajian terhadap penggunaan PBBK dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing belum lagi dijalankan. Justeru itu, pengkaji merasakan perlunya satu kajian di peringkat awal bagi mengkaji penggunaan PBBK dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab.

Matlamat Kajian
Matlamat kajian ini dijalankan ialah untuk:
1. Mengetahui skop penggunaan komputer di kalangan guru dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Arab di sekolah yang dipilih.
2. Mendapatkan maklum balas daripada guru tentang tahap kemahiran, persepsi, tahap kesediaan dan peranan mereka dalam P&P bahasa Arab dengan menggunakan PBBK.
3. Mengutarakan cadangan-cadangan yang berkaitan dengan penggunaan komputer dalam P&P bahasa Arab berdasarkan hasil kajian.

Metodologi Kajian
Memandangkan bahawa kajian ini adalah kajian deskriptif, kajian ini dikendalikan menggunakan tinjauan. Dalam mengendalikan tinjauan ini, borang soal-selidik diedarkan kepada subjek kajian yang dipilih.
Tempat dan Subjek Kajian
Kajian ini telah dijalankan di tiga buah sekolah agama berasrama penuh di Malaysia iaitu di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang, Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Kajang dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu. Ketiga-tiga buah sekolah di atas dipilih secara ‘purposive sampling’ dengan kriteria berikut:
 Sekolah yang mendapat bantuan penuh kerajaan.
 Sekolah tersebut mempunyai kemudahan prasarana yang mencukupi seperti komputer, bahan-bahan pengajaran yang terkini dan makmal bahasa.
 Para guru sentiasa mendapat input dan informasi yang mutakhir untuk meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran mereka.
Pengkaji telah mendapat respon yang amat baik daripada sampel kajian yang terdiri daripada 40 orang guru bahasa Arab daripada ketiga-tiga buah sekolah di atas. Daripada 40 orang guru bahasa Arab ini, 17 orang daripadanya adalah guru lelaki dan bakinya 23 orang lagi ialah guru wanita. Seramai 21 orang atau 52.5% daripada guru-guru tersebut berumur di antara 25 - 35 tahun, 7 orang atau 17.5% daripadanya berumur di antara 36 – 40 tahun, 10 orang atau 25% berumur 41 – 45 tahun dan 2 orang atau 5% berumur di antara 46 – 50 tahun. Faktor usia adalah salah satu faktor yang penting yang mempunyai kaitan dengan penggunaan teknologi maklumat di mana hasil kajian menunjukkan sebahagian besar guru-guru yang berusia antara 25 hingga 45 tahun mempunyai minat dan respon yang positif dalam penggunaan komputer dalam P&P mereka.

Alat Kajian
Untuk tujuan kajian ini, alat yang digunakan untuk memperoleh data ialah borang soal-selidik. Soal-selidik tersebut terdiri daripada 4 bahagian. Bahagian pertama, menyenaraikan maklumat tentang latarbelakang guru yang merangkumi jantina, umur dan tahap kemahiran menggunakan komputer. Bahagian kedua, terdiri daripada soalan yang meninjau skop penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Bahagian ketiga, merupakan soalan yang meninjau tentang persepsi guru terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab berbantukan komputer. Bahagian akhir pula terdiri daripada soalan yang menyelidiki tentang peranan dan tahap kesediaan guru dalam P&P bahasa Arab berbantukan komputer.
Dapatan Kajian
Data yang diperolehi dalam soal-selidik ini dinilai. Data menunjukkan bahawa reaksi sebahagian besar guru dan pelajar terhadap P&P bahasa Arab menggunakan PBBK adalah positif.
Dapatan dan Penafsiran Soal-Selidik Guru
1)Skop penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab berbantukan komputer.

Skop penggunaan komputer dalam P&P bahasa Arab berbantukan komputer.
Seramai 10 orang guru sahaja atau 25% yang menggunakan komputer dalam kelas bahasa mereka sebagai aktiviti pemulihan dan pengukuhan serta menjadikannya sebagai bahan rujukan tambahan kepada para pelajar, sementara 30 orang lagi atau 75% mengatakan mereka tidak menggunakan komputer dalam P&P bahasa Arab dalam kelas mereka. Di antara bahan yang digunakan adalah CD-ROM yang didapati di pasaran yang bersesuaian dengan tahap pelajar dan ada yang melayari laman sesawang iaitu almaktoob.com dan arabicnew.com
Daripada statistik ini dapat dilihat bahawa skop penggunaan komputer dalam kelas amatlah minimum atas beberapa sebab di mana 20 orang atau 50% daripada para guru menyatakan bahawa tiada prasarana ataupun kemudahan yang mencukupi yang disediakan di sekolah seperti kekurangan komputer dan kekurangan kakitangan dalam mengendalikan kerja-kerja teknikal. 16 orang pula atau 40% menyatakan bahawa tiada kebolehan ataupun latihan dan juga pendedahan yang mencukupi bagi mereka untuk melaksanakan PBBK dalam P&P mereka. Dalam situasi ini, pengkaji beranggapan, sekiranya para guru ini diberi latihan dan pendedahan yang mencukupi, mereka akan dapat melaksanakan PBBK dalam P&P mereka.

Sebab Tidak Menggunakan Komputer Dalam P&P
Walau bagaimanapun, terdapat seorang guru atau 2.5% yang tidak berminat dalam menggunakan komputer dan 3 lagi atau 7.5% tidak tahu apa-apa mengenai PBBK. Jumlah ini adalah kecil dan pengkaji mencadangkan supaya sebarang kursus kemahiran yang hendak dikendalikan yang berkaitan dengan PBBK, ianya haruslah mengambil kira minoriti yang tidak berminat dalam penggunaan komputer dalam kelas bahasa mereka. Ini berpadanan dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh Norizan Abdul Razak dan Salleh-Huddin Abdul Rashid (1997) yang menyarankan bahawa guru-guru perlu mrngikuti kursus-kursus komputer terutamanya yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa kerana hasil kajian beliau mendapati terlalu kurang guru yang mendapat latihan penggunaan komputer khususnya dalam pengajaran bahasa.
2. Tahap kemahiran menggunakan komputer

Tahap kemahiran menggunakan komputer
Seramai 4 orang atau 10% daripada guru bahasa Arab merasakan mereka mempunyai tahap kemahiran yang tinggi dalam menggunakan komputer dan hampir separuh atau 47.5% yang mewakili 19 orang guru adalah mahir menggunakan komputer. Ini bermakna guru yang mempunyai tahap kemahiran yang tinggi dalam penggunaan komputer kemungkinan tidak mempunyai masalah sekiranya diberi latihan untuk PBBK dalam P&P bahasa Arab kerana mereka dapat memahami dengan mudah dan cepat. Begitu juga dengan guru yang mahir dalam penggunaan komputer, di mana mereka dapat dibimbing dengan mudah sekiranya diberi latihan dan kursus yang berkaitan dengan PBBK.
Walau bagaimanapun, 15 orang atau 37.5% daripada guru adalah kurang mahir dan 2 orang atau 5% tidak mahir langsung menggunakan komputer. Bagi guru-guru yang kurang mahir dan tidak mahir, mereka memerlukan latihan dan kursus-kursus yang berbentuk intensif dan ekstensif bagi membantu mereka menggunakan komputer sekiranya P&P bahasa Arab berbantukan komputer ini (PBBK) ingin diimplementasikan.
3. Persepsi guru terhadap pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer

Persepsi Guru Terhadap PBBK
Bagi soalan yang meninjau tentang persepsi para guru terhadap penggunaan PBBK dalam P&P bahasa Arab, 100% menyatakan bahawa mereka percaya yang pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer boleh membantu meningkatkan kemahiran pelajar mereka terhadap bahasa Arab. Seramai 100% juga menyatakan bahawa PBBK dapat membantu meningkatkan mutu pengajaran mereka. Lebih 90% menyatakan bahawa mereka percaya yang PBBK dapat menjimatkan masa dan tenaga semasa P&P dan dapat memudahkan proses pengajaran mereka. Statistik ini menunjukkan bahawa para guru mempunyai persepsi yang sangat positif dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab berbantukan komputer.

Tahap Kepekaan Guru Terhadap Teknologi Maklumat
Bagi persoalan yang menyelidiki tahap kepekaan terhadap teknologi maklumat, 17 orang atau 42.5% menyatakan mereka sangat peka terhadap isu-isu yang berkaitan dengan penggunaan teknologi dalam pendidikan, 22 orang atau 55% adalah peka manakala seorang yang mewakili 2.5% lagi tidak peka terhadap isu di atas. Bagi isu yang berkaitan dengan hubungan antara masyarakat dan teknologi maklumat, 15 orang atau 37.5% adalah sangat peka manakala 24 lagi atau 60% menyatakan mereka peka dan seorang tidak peka yang mewakili 2.5%. Ini menunjukkan bahawa tahap keprihatinan guru-guru bahasa Arab dengan isu-isu yang terlibat adalah tinggi dan ia menunjukkan satu petanda yang baik sekiranya PBBK hendak dilaksanakan dalam P&P.
4. Peranan dan tahap kesediaan guru dalam pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer

Peranan Guru Dalam PBBK
Dalam soalan yang menyelidiki tentang peranan guru dalam proses P&P bahasa Arab berbantukan komputer sekiranya ianya dijalankan di sekolah-sekolah, seramai 25 orang guru atau 62.5% berpendapat bahawa peranan guru adalah sebagai fasilitator sahaja dan 15 orang yang lain atau 37.5% menyatakan guru harus berperanan sebagai pengajar, fasilitator dan juga pengurus sumber. Daripada statistik ini, menunjukkan kebanyakan guru masih belum memahami peranan mereka sekiranya PBBK dilaksanakan kerana tugas guru bukanlah sebagai fasilitator sahaja, malah lebih daripada itu bagi menjayakan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer.

Tahap Kesediaan Guru Menggunakan PBBK

Meninjau tentang tahap kesediaan guru dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan PBBK, seramai 27 orang atau 67.5% mempunyai tahap kesanggupan yang sangat tinggi untuk mengikuti latihan PBBK dan seramai 13 orang lagi atau 32.5% sanggup menghadirinya. Tidak ada di antara para guru yang menolak atau tidak mahu menghadiri latihan PBBK sekiranya ianya diadakan. Data ini menunjukkan bahawa para guru bahasa Arab mempunyai tahap kesediaan yang amat tinggi dan bermotivasi untuk menghadiri sebarang bentuk latihan bagi meningkatkan pemahaman dan penguasaan mereka dalam PBBK seterusnya mengaplikasikan ilmu yang mereka dapati itu dalam P&P bahasa Arab.
Keperluan Diberikan Insentif Kepada Guru
Seramai 36 orang guru atau 90% menyatakan bahawa perlunya diberikan insentif kepada guru-guru yang menggunakan PBBK dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Statistik ini menunjukkan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan PBBK di sekolah perlu mengambil kira isu-isu pengurusan sumber manusia supaya guru-guru tidak merasa tertekan dan terbeban dengan tanggungjawab yang diberikan.

Cadangan Kajian
Daripada dapatan kajian, beberapa cadangan dikemukakan bagi penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab iaitu:
1. Para guru perlu diberi pendedahan, latihan dan kursus-kursus kemahiran penggunaan komputer secara optimum yang berterusan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Pendidikan dan Bahagian Pendidikan Guru supaya para guru sentiasa mendapat informasi terkini dan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan diikuti dengan pengaplikasian teknologi dalam P&P mereka.
2. Sebarang bentuk latihan dan juga kursus-kursus yang hendak dikendalikan adalah disarankan supaya merangkumi semua tahap kemahiran teknologi maklumat memandangkan masih ada lagi guru yang kurang dan tidak mahir langsung menggunakan komputer.
3. Untuk implementasi PBBK dengan berkesan di sekolah, pihak-pihak yang terlibat perlu memikirkan insentif yang bersesuaian kepada para guru sebagai satu galakan dan motivasi kepada mereka supaya mereka tidak merasa tertekan dan terbeban dengan tanggungjawab yang diberi.
4. Kementerian Pendidikan hendaklah melengkapkan sekolah dengan kemudahan prasarana yang secukupnya bagi menjana teknologi maklumat supaya para pelajar dan guru mendapat faedah yang maksimum dalam pengajaran dan pembelajaran mereka bersesuaian dengan arus masa kini.

Kesimpulan
Daripada kajian yang telah dijalankan dan berdasarkan pemerolehan data yang diperolehi, dapat dibuat kesimpulan bahawa walaupun skop penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab adalah di tahap minimum, namun guru-guru bahasa Arab mempunyai persepsi yang sangat baik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab berbantukan komputer di mana 100% daripada para guru percaya bahawa PBBK dapat meningkatkan mutu pengajaran mereka dan meningkatkan kemahiran pelajar terhadap bahasa Arab dan lebih 90% menyatakan bahawa mereka percaya yang PBBK dapat menjimatkan masa dan tenaga dan memudahkan proses pengajaran mereka. Namun begitu, pemahaman mereka terhadap penggunaan PBBK masih belum memuaskan kerana masih ada lagi guru yang beranggapan bahawa tugas mereka hanyalah sebagai fasilitator dan menjadi lebih mudah semata-mata dengan menggunakan PBBK, sedangkan tugas mereka meliputi semua aspek iaitu sebagai fasilitator, pengurus sumber dan juga pengajar. Oleh yang demikian, bagi meningkatkan lagi tahap pemahaman mereka terhadap PBBK ini supaya ia dapat dilaksanakan dengan jayanya, para guru bahasa Arab mempunyai tahap kesediaan yang amat tinggi untuk menghadiri sebarang kursus yang akan dikendalikan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Memandangkan kajian ini adalah satu kajian awal, pengkaji berharap satu kajian empirikal yang lebih mendalam yang mengkaji tentang penyediaan bahan perisian yang bersesuaian akan dapat dijalankan, supaya bahasa Arab dapat dipelajari dengan kaedah yang lebih mudah dan efektif yang mengikuti perkembagan semasa supaya ia dapat berkembang dengan lebih meluas lagi.

Category : edit post

Kenali Saya

My photo
No.Matrik:(202208), Maahad Tahfiz Al-Asriah, Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan

Followers

Radio IKIM